i-Biaya: Inisiatif Terbaharu Pembiayaan Perumahan Malaysia






Inisiatif terbaharu pembiayaan perumahan di Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Home Ownership Programme (HOPE) iaitu Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).

Inisiatif ini dijangka mampu meningkatkan pemilikan rumah terutamanya mereka dalam golongan B40, M40 dan pekerja sektor tidak formal.

Tambahan pula, inisiatif ini adalah sebagai langkah untuk menyokong sasaran penyediaan sebanyak 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025.

Peranan i-Biaya


Terdapat 3 peranan utama inisiatif ini iaitu untuk:
  • Menyediakan pembiayaan bagi yang berhadapan dengan masalah akses kepada pembiayaan perumahan.
  • Menyediakan jaminan kepada pembeli rumah pertama.
  • Menyediakan khidmat nasihat/konsultasi/kaunseling dalam pengurusan kredit.

Skim Pembiayaan Yang Ditawarkan


Terdapat 3 skim pembiayaan yang ditawarkan menerusi inisiatif ini iaitu:

i) Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)

  • SKJP adalah skim yang membantu pembeli rumah pertama daripada golongan tidak berpendapatan tetap mendapat pembiayaan perumahan.

ii) Skim Rumah Pertamaku (SRP)

  • SRP adalah skim yang membantu pembeli rumah pertama dalam kalangan M40 dan B40 untuk memiliki sebuah rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

iii) Skim Rent-To-Own (RTO)


  • Skim RTO merupakan skim pemilikan perumahan berkonsepkan sewa beli dan skim ini terbuka untuk semua unit PR1MA sedia ada.

Cara Memohon


Untuk memohon ketiga-tiga skim tersebut, sila ikuti langkah-langkah berikut:

i) Permohonan SJKP
  1. Bakal peminjam mengenal pasti kediaman yang dikehendaki.
  2. Selepas itu, buat permohonan dan serahkan dokumen berkaitan kepada institusi kewangan terlibat.
  3. Bank menilai dan menyemak permohonan peminjam dan menghantar permohonan ke SJKP bagi jaminan pelindungan.
  4. SJKP menyemak permohonan dan menyediakan jaminan pelindungan (jika memenuhi kriteria yang ditetapkan).
  5. Institusi kewangan mengemukakan surat tawaran (LO) kepada pelanggan setelah berjaya mendapatkan jaminan SJKP.
  6. Peminjam menerima LO dan memiliki rumah idaman mereka selepas institusi kewangan mengeluarkan pembiayaan.


ii) Permohonan SRP
  1. Pemohon mencari rumah idaman dan mereka perlu mendapatkan dokumen berkaitan seperti draf perjanjian jual beli/resit bayaran tempatan dan lain-lain.
  2. Semak kelayakan pembiayaan rumah di bawah SRP menerusi https://srp.com.my/bm/eligibility-criteria.
  3. Sediakan dokumen sokongan seperti slip gaji dan penyata.
  4. Hantar permohonan pembiayaan perumahan SRP ke cawangan bank-bank yang terlibat.


iii) Permohonan RTO
  1. Buat akaun di https://www.prima.my.
  2. Pemilihan unit OTP sedia ada akan dikeluarkan.
  3. Pemohon mula membuat permohonan skim RTO bersama Maybank.
  4. Wakil Maybank akan menghubungi pemohon dan memproses permohonan tersebut.
  5. Maybank akan mengeluarkan keputusan permohonan skim RTO kepada pemohon.
  6. Perjanjian disediakan untuk ditandatangani.
  7. Pemohon akan menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) antara pemohon dan PR1MA dan perjanjian Skim RTO antara pemohon dan Maybank.
  8. Pemohon menerima kunci rumah daripada PR1MA.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai i-Biaya, layari laman web https://www.kpkt.gov.my/.




Post a Comment

0 Comments